YANGON: Junta tentera Myanmar akan meningkatkan kawalan di wilayah bersempadan China susulan beberapa serangan hendap oleh kumpulan pejuang etnik terhadap bekalan bahan bakar.
Sejak beberapa hari lalu, pejuang etnik di negeri Kachin dan Shan menyasarkan beberapa trak milik tentera Myanmar yang membawa bekalan bahan bakar untuk junta melancarkan serangan udara serta keperluan pengangkutan tentera.
Lidah rasmi junta Myanmar, Global New Light melaporkan, siri serangan itu menyebabkan bekalan bahan bakar semakin berkurangan dan harga komoditi berkenaan meningkat secara mendadak.
“Sehubungan itu, junta akan meningkatkan kawalan di kawasan berisiko,” jelas laporan tersebut.
Jurucakap Tentera Kebebasan Kachin (KIA), Nw Bu memberitahu, pejuangnya memusnahkan beberapa trak milik tentera, manakala sekurang-kurangnya tujuh jentera yang membawa bahan bakar diserang di Shan. – AFP