LONDON: Arab Saudi semalam mengumumkan pelancong dari luar yang tiba ke negara itu tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya sudah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Pelancong dari 20 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), India, Britain, Jerman, Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagaimanapun masih dilarang memasuki Arab Saudi bagi mengekang penularan Covid-19.
Pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi menyatakan, bermula 20 Mei ini, pelancong dari luar yang sudah menerima suntikan vaksin, atau pernah dan sudah pulih dari jangkitan Covid-19 tidak perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari di hotel yang disediakan.
Kesemua pengunjung perlu menunjukkan bukti bahawa mereka sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 untuk memasuki Arab Saudi.
Ketika ini, kesemua pelancong yang ingin memasuki negara tersebut perlu menjalani kuarantin selama tujuh hingga 14 hari dan melampirkan keputusan ujian saringan Covid-19.
Di bawah peraturan itu, sesiapa yang berusia lapan tahun ke atas dan tidak menerima suntikan vaksin perlu dikuarantin selepas tiba di Arab Saudi selama tujuh hari di hotel yang disediakan, selain perlu menanggung sendiri semua perbelanjaan. – REUTERS