YANGON: Pasukan keselamatan Myanmar didakwa menangkap ribuan penduduk terutamanya golongan belia dan kanak-kanak lelaki sebagai usaha ‘menghentikan kebangkitan revolusi’ di negara ini.
Menurut analisis yang dilakukan agensi berita AP, lebih 3,500 orang sudah ditahan sejak 1 Februari 2021.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut menzahirkan kebimbangan apabila kira-kira 1,000 kes kanak-kanak atau belia ditahan secara paksa dengan kebanyakannya tidak mempunyai akses mendapatkan khidmat peguam, malah bertemu dengan keluarga mereka.
Walaupun sukar mendapatkan data yang tepat, agensi itu memaklumkan kebanyakan yang ditahan adalah kanak-kanak lelaki.
Golongan itu sering ‘diculik’ tanpa mengiran waktu dari rumah, premis perniagaan dan di tepi jalan, dengan ada segelintir daripadanya menemui ajal, dipenjara serta diseksa pasukan keselamatan Myanmar.
Pengasas kumpulan hak asasi manusia, Matthew Smith berkata, pihaknya mempunyai sejumlah bukti menunjukkan orang awam yang ditangkap dibunuh dalam tahanan.
“Ketika ini, semakin ramai orang awam terutamanya kanak-kanak dan belia lelaki ditahan pasukan keselamatan.
“Kami turut melakukan dokumentasi dan mendapati situasi itu menjadi semakin ‘sistematik’,” katanya.
Dalam pada itu, wajah-wajah individu hilang mula memenuhi media sosial di negara ini.
Beberapa video dalam talian menunjukkan pasukan tentera dan polis memukul serta menendang sekumpulan belia, selain memaksa mereka merangkak dan melompat seperti katak.
Sementara itu, hampir 2,700 orang yang dtangkap junta tentera ditahan di lokasi yang tidak diketahui, sekali gus menyukarkan keluarga mengesan di mana saudara mereka.