RAMALLAH: Seorang remaja Palestin berusia 16 tahun ditembak mati pada Rabu malam oleh tentera Israel berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat, kata pegawai perubatan dan saksi.
Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan mengatakan bahawa remaja itu terbunuh semasa pertempuran antara penunjuk perasaan Palestin dan tentera Israel di kampung Oudla, selatan Nablus.
Kementerian itu mengatakan seorang lagi pemuda Palestin ditembak dan mengalami kecederaan semasa pertempuran yang sama.
Sementara itu, saksi memberikan maklumat serupa mengenai kejadian itu, mengatakan Nablus dan beberapa kampung di sekitarnya menyaksikan tunjuk perasaan setiap hari berikutan serangan tentera Israel ke atas rumah-rumah penduduk Palestin di kawasan itu.
Tentera Israel telah mencari lelaki bersenjata Palestin yang melepaskan tembakan tiga hari lalu ke atas sebuah kenderaan dan mencederakan tiga orang Israel.
Tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan tembak itu.