JAKARTA: Akibat tidak tahu menggunakan telefon bimbit apatah lagi aplikasi WhatsApp, seorang wanita sering mengutuskan berpucuk-pucuk surat kepada anaknya untuk berkomunikasi.
Tribunnews melaporkan, kisah itu menjadi tular dalam Twitter sehingga diulang kicau 7,000 kali menerusi akaun @kelanawisnu.
“Setiap kali menghubungi saya, dia akan menulis surat dan mengirimkannya kepada saudara saya.
“Meskipun hanya berbentuk kertas, namun ada keistimewaan sendiri cara berkomunikasi melalui surat. Kata-kata yang ditulis oleh ibu kerap membuatkan saya terharu hingga menangis,” katanya.
Bahkan, menjelang hari lebaran esok, surat masih menjadi medium untuk anak beranak itu saling berkomunikasi.
Kisah itu mendapat reaksi positif daripada warganet yang turut sama terharu dengan sikap seorang ibu yang kerap menghubungi anaknya sendiri melalui kiriman surat.