BANGKOK: Thailand merancang untuk mengimport sebanyak 10,000 dos vaksin Covid-19 pertama di dunia yang dihasilkan bagi haiwan.
Media tempatan melaporkan syarikat farmaseutikal, Supreme Pharmatech Co. mengadakan rundingan dengan pengeluar vaksin Carnivac-Cov untuk mengimport vaksin itu secara domestik.
“Ini merupakan peluang terbaik untuk menjaga kesihatan haiwan memandangkan ramai yang menghabiskan masa bersama dengan haiwan peliharaan mereka.
“Vaksin itu akan membantu mengurangkan risiko kemungkinan jangkitan. Malah sekarang merupakan masa sesuai kerana proses vaksinasi penduduk juga sedang dilaksanakan.
“Jadi, vaksin ini dapat membantu haiwan peliharaan mereka selamat daripada virus,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Supreme Pharmatech Co., Milint Wintarasiri.
Mac lalu, Rusia mengumumkan negaranya sudah mendaftarkan vaksin Covid-19 pertama di dunia untuk haiwan.
Berdasarkan Timbalan Ketua Rosselkhoznadzor, Konstantin Savenkov, agensi pemantauan itu telah menguji vaksin tersebut sejak Oktober tahun lalu.
Katanya, vaksin itu terbukti berkesan terhadap anjing, kucing, serigala serta haiwan lain.
Media Rusia melaporkan Thailand merancang untuk mengimport 10,000 dos vaksin Covid-19 untuk peringkat awal. – AGENSI