Suzy trauma lihat emak, adik mati depan mata - Utusan Malaysia

Suzy trauma lihat emak, adik mati depan mata

MAYAT tiga kanak-kanak dari keluarga Al-Tanani dan Zaayter yang terkorban semasa serangan udara diusung di Hospital Beit Lahya, utara Gaza. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Keganasan tentera Zionis Israel belum ternoktah dan rejim Zionis itu sanggup menyerang sesiapa sahaja demi menghalalkan darah penduduk Palestin. 

Derita itu bukan sahaja dirasakan oleh kaum lelaki mahupun wanita, bahkan, golongan kanak-kanak turut mengalami trauma besar dalam siri pengeboman Israel di Semenanjung Gaza.

Episod kekejaman itu menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan dari Gaza, Suzy Ishkontana enggan bercakap mahupun makan. 

Sudah dua hari berlalu, sejak budak perempuan berusia tujuh tahun itu diselamatkan di bawah serpihan runtuhan rumahnya yang musnah dalam rentetan serangan udara dilancarkan oleh tentera Zionis di Gaza.   

Suzy terperangkap selama beberapa jam di bawah runtuhan itu sambil menyaksikan adik-beradiknya dan ibunya mati di depan matanya sendiri.

Ini merupakan kali keempat dalam tempoh 12 tahun Israel dan Hamas terlibat dalam pertempuran yang paling sengit.

Israel melancarkan serangan udara besar di Semenanjung Gaza dengan alasan kononnya mahu menghentikan serangan balas roket yang dilancarkan oleh Hamas.

Sekurang-kurangnya 219 orang maut di Gaza termasuk 63 kanak-kanak dengan lebih 1,500 cedera. 

Beberapa rakaman video media sosial dari Gaza menunjukkan mangsa dirundung kesedihan apabila ahli keluarga lain terbunuh sekelip mata dalam serangan tersebut.   

“Di mana mereka semua?,” soal seorang bapa yang berada di luar hospital selepas mengetahui keempat-empat anaknya terbunuh dalam serangan itu.

Keluarga Suzy terperangkap di bawah serpihan runtuhan rumah mereka yang musnah pagi Ahad lalu, selepas jet pejuang tentera Zionis terus mengebom Gaza secara bertubi-tubi.

*DENGAR JERITAN ANAK

Mengimbas kembali peristiwa menyayat hati itu, Riad Ishkontana menceritakan bagaimana dia terperangkap selama lima jam di bawah serpihan konkrit runtuhan sehingga tidak berdaya membantu isterinya dan lima anaknya.

“Saya hanya dapat mendengar suara jeritan mereka di bawah runtuhan itu.

“Saya terdengar Dana dan Zain memanggil saya sehingga suara itu sudah tidak kedengaran lagi dan kemudian saya sedar mereka sudah meninggal dunia,” katanya ketika merujuk kepada dua anaknya.

Selepas Riad diselamatkan dan dibawa ke hospital, dia berkata, saudara mara dan beberapa kakitangan hospital menyembunyikan kematian isteri dan anak-anaknya sehingga diketahui umum.

“Saya hanya mendapat tahu kematian mereka satu demi satu,” luahnya. 

Jelas Riad, Suzy merupakan satu-satunya anak yang masih hidup daripada lima orang anaknya.

*MURUNG MELAMPAU

Seorang pakar pediatrik, Dr. Zuhair Al-Jaro berkata, budak perempuan itu mengalami trauma yang teruk walaupun hanya cedera ringan selepas tujuh jam terperangkap di bawah runtuhan tersebut. 

Katanya, pihak hospital tidak mampu menawarkan rawatan psikologi yang diperlukan disebabkan pertempuran berterusan.

“Dia mengalami kemurungan yang teruk dan baru hari ini Suzy mula makan selepas dia melihat sepupunya,” katanya. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya