NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan status quo Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis harus dihormati oleh semua pihak.
Kenyataan itu dibuat selepas pertembungan terbaharu meletus antara polis Israel dan penduduk Palestin di pekarangan Masjid al-Aqsa semalam.
Dilaporkan, polis Zionis sekali lagi menyerbu Masjid al-Aqsa, beberapa jam selepas Hamas dan Israel bersetuju melakukan gencatan senjata bagi menghentikan konflik keganasan yang berlangsung selama 11 hari.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menegaskan kedua-dua pihak harus menghentikan segala keganasan dan menghormati status quo tempat suci itu.
“Dalam situasi ini, kedua-dua pemimpin politik dan agama mempunyai tanggungjawab untuk bersuara terhadap sesiapa sahaja yang mengganggu keamanan.
“Kita juga harus tegas menentang keganasan terutamanya dalam situasi yang tegang seperti itu, ”kata jurucakap kepada Guterres, Stephane Dujarric dalam satu taklimat PBB di New York.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan punca sebenar pertembungan baharu yang berlaku di pekarangan Masjid al-Aqsa selepas solat Jumaat.
Dilaporkan, polis Israel melepaskan gas pemedih mata terhadap penduduk Palestin yang melempar batu ke arah pasukan keselamatan Israel yang bertindak balas di tempat kejadian.
Menurut polis Israel, sebanyak 16 orang telah ditahan.
Sebelum ini, penduduk Gaza meraikan kejayaan gencatan senjata yang dipersetujui dengan menyifatkannya sebagai kemenangan untuk penduduk Palestin. – AGENSI