BEIJING: Satu serpihan besar milik roket Long March 5B memasuki atmosfera Bumi semalam dan hancur berkecai di Lautan Hindi.
Menurut stesen penyiaran tempatan yang memetik Pejabat Kejuruteraan Angkasa Lepas China, berita itu sekali gus menamatkan spekulasi pelbagai pihak mengenai bila dan di mana roket serpihan roket seberat 18 tan itu akan jatuh.
“Selepas memantau dan membuat analisis, pada pukul 10.24 pagi waktu tempatan, serpihan terakhir roket Long March 5B memasuki atmosfera Bumi dan jatuh di Lautan Hindi.
“Kebanyakan komponen serpihan itu terbakar dan berkecai ketika memasuki atmosfera,” jelas agensi itu menerusi kenyataan.
Laporan itu turut disahkan oleh agensi pemantauan Space-Track yang menggunakan data ketenteraan Amerika Syarikat (AS).
Lokasi pendaratan serpihan roket itu sepadan dengan ramalan yang dibuat oleh beberapa pakar sebelum ini yang yakin sebarang komponen roket pasti akan jatuh ke dalam laut memandangkan 70 peratus bahagian Bumi dikelilingi lautan.
Ketidaktentuan lokasi dan bila serpihan roket itu akan jatuh sebelum ini mencetuskan kebimbangan banyak pihak termasuk AS kerana dikhuatiri mendatangkan bencana kepada penduduk.
Namun, pihak berkuasa China sebelum ini memberi jaminan risiko untuk serpihan roket itu mengenai kawasan berpenghuni adalah sangat rendah.
Perkara itu disampaikan oleh jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin pada minggu lalu. – AFP