Serang selagi boleh - Netanyahu - Utusan Malaysia

Serang selagi boleh – Netanyahu

TENTERA Israel melancarkan serangan udara di Menara Jala di Gaza City, Palestin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan serangan di Semenanjung Gaza, ketika konflik antara Zionis dan Palestin memasuki hari ketujuh hari ini.

Katanya, serangan tetap dilancarkan ‘selagi ada keperluan untuk berbuat demikian’.

Beliau menegaskan tentera Israel juga berusaha untuk memastikan jumlah korban jiwa melibatkan penduduk awam dapat dikurangkan atau dielakkan.

“Pihak yang perlu menanggung semua kesalahan ini adalah mereka (pergerakan Hamas) yang menyerang Israel, bukan kami,” katanya ketika berucap yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Di sebalik keangkuhan Netanyahu, sekurang-kurangnya 26 lagi penduduk Palestin maut dalam serangan udara terbaharu tentera Zionis pada awal pagi semalam.

Kematian itu menjadikan jumlah penduduk Palestin yang terkorban ketika ini adalah sebanyak 170 orang termasuk 41 kanak-kanak dengan lebih 1,000 cedera.

Di Tebing Barat, 13 penduduk Palestin terbunuh akibat ditembak tentera Zionis ketika melakukan tunjuk perasaan.

 

Jadi yatim piatu

Serangan demi serangan yang dilancarkan oleh tentera Israel bermaksud lebih banyak nyawa tidak berdosa akan menjadi korban, tidak kira tua atau muda dan lelaki atau perempuan.

Situasi itu menyaksikan semakin ramai golongan kanak-kanak menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa atau penjaga mereka terkorban dalam serangan Israel.

Sebuah kem pelarian musnah apabila terkena peluru berpandu yang dilancarkan tentera Zionis, menyaksikan sekurang-kurangnya 10 orang dalam satu keluarga maut termasuk lapan kanak-kanak.

Insiden itu menjadikan seorang bayi lelaki berusia lima bulan, Omar al-Hadidi menjadi satu-satunya mangsa terselamat selepas ibu, empat adik-beradiknya dan empat sepupunya maut dalam serangan tersebut.

Bapa Omar, Mohammad al-Hadidi tiada di rumah ketika serangan berlaku.

Seorang doktor yang merawat Omar memberitahu, keadaan bayi itu kritikal dengan tulang pahanya patah.

 

Bangunan media jadi sasaran

Pada awal pagi kelmarin, serangan udara tentera Israel menghancurkan sebuah bangunan tinggi yang menempatkan beberapa organisasi media termasuk The Associated Press (AP) dan Al Jazeera.

Dalam satu kenyataan, ketenteraan Israel memaklumkan bangunan tersebut adalah milik hamas, namun dinafikan pemilik premis berkenaan.

AP memaklumkan, blok bangunan itu diserang sejam selepas tentera Israel memaksa semua penghuninya keluar.

 

PBB bersuara

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Gutteres menyatakan beliau ‘berasa amat terganggu dengan serangan tersebut’.

Jurucakapnya memaklumkan, serangan yang menyasarkan penduduk awam dan bangunan media secara jelas mencabuli undang-undang antarabangsa dan perlu dielakkan.

 

Zionis serang rumah ketua politik Hamas

Tentera Israel turut melancarkan serangan udara terhadap kediaman ketua politik Hamas, Yahya Sinwar di Semenanjung Gaza.

Namun, Israel tidak dapat memastikan sama ada Yahya terkorban atau tidak dalam serangan tersebut.

 

Biden tetap sokong Israel

Menerusi perbualan telefon, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menzahirkan sokongan kepada rakan sejawatnya, Netanyahu.

Biden yang turut bercakap dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menegaskan bahawa Hamas perlu meletakkan senjata sekiranya mahu pertempuran dihentikan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya