YANGON: Sebanyak sembilan negara Asia Tenggara mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tidak membekukan penjualan senjata ke Myanmar.
Sembilan negara Asia Tenggara, kecuali Myanmar, mengutarakan desakan tersebut menerusi satu surat rasmi.
Lapor Benar News, surat berkenaan ditujukan kepada negara pembiaya draf resolusi Perhimpunan Agung PBB mengenai Myanmar, yang ketika ini berdepan dengan pergolakan politik susulan rampasan kuasa oleh junta tentera pada Februari lalu.
Portal berita itu yang bernaung di bawah Radio Free Asia, melaporkan, negara Asia Tenggara mendesak negara pembiaya mengeluarkan sebaris ayat daripada draf resolusi.
Ayat itu merujuk kepada ‘gesaan menggantung pembekalan, jualan atau pemindahan semua jenis senjata api dan peluru, sama ada secara langsung atau tidak terus ke Myanmar’.
Surat berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan sebab bantahan itu dibuat.
Sementara itu, jurucakap ASEAN enggan memberi sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan. – REUTERS