LONDON: Satu tinjauan mendapati sebanyak 67 peratus penduduk Britain mendakwa sanggup ‘memendekkan jangka hayat mereka’ antara lima hingga 10 tahun berbanding berhenti makan daging.
Lapor Daily Star, tinjauan membabitkan seramai 2,000 penduduk itu dijalankan oleh syarikat penyelidikan pasaran, OnePoll mewakili kempen amal, No Meat May.
Tinjauan itu juga mendapati 51 peratus penduduk Britain mengaitkan diet pemakanan dengan pengambilan banyak daging merupakan gaya hidup maskulin.
Sebanyak 36 peratus penduduk menganggap diet pemakanan berasaskan sayuran sebagai feminin.
Selain itu, sebanyak 30 peratus atau satu pertiga lelaki percaya manusia perlu makan daging berbanding 22 peratus wanita yang berpandangan demikian.
Kira-kira enam peratus penduduk pula menyatakan mereka lebih rela dipenjarakan daripada berhenti makan daging.
Metro melaporkan, statistik yang mengejutkan itu meningkat kepada 11 peratus bagi golongan yang berusia 25 hingga 34 tahun.
Sebanyak 38 peratus wanita memaklumkan akan berhenti makan daging sekiranya dapat meningkatkan kesihatan mereka.
Sebanyak 36 peratus wanita pula sanggup berhenti makan daging jika dapat mengurangkan risiko menghidap kanser tertentu manakala 33 peratus golongan itu akan berbuat demikian sekiranya boleh menurunkan berat badan.