Saintis teroka laut ketiga paling dalam di dunia  - Utusan Malaysia

Saintis teroka laut ketiga paling dalam di dunia 

RAKAMAN imej sampah yang dijumpai semasa penerokaan ke dasar laut dalam di Jurang Filipina. - VEROLA MEDIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Seorang saintis Filipina, Dr. Deo Florence menyelam ke 10,000 meter dasar laut ketiga paling dalam di dunia, di Emden Deep sebahagian dari Jurang Filipina.  

Lapor Channel News Asia, Pakar Laut berusia 33 tahun dari Institut Sains Marin, Universiti Filipina menyatakan dirinya melakukan perkara yang sangat mencabar  selama 12 jam, Mac lalu. 

Katanya, cabaran meneroka laut dalam adalah sangat janggal dan kompleks seperti meneroka ruang angkasa lepas. 

“Tiada siapa dapat menggambarkan perasaannya. Ia sangat memerlukan persediaan mental berada di kapal selam kecil tanpa panik semasa menyelam,” kongsinya. 

Jurang Filipina adalah antara jurang yang terletak di bahagian timur Filipina dan utara Lautan Pasifik. 

Dia meneroka dasar laut itu bersama peneroka laut Amerika Syarikat (AS), Victor Vescovo dari Caladan Oceanic, sebuah organisasi swasta yang membangunkan teknologi dasar laut.

“Sekiranya anda melihat Jurang Filipina, pendedahan imej pertama adalah pada 1950an dan kemudian lebih terperinci pada 1970 an. 

“Teknologi itu belum begitu bagus atau tepat ketika itu. Sekarang adalah peluang bagi kita untuk melihat apa yang berlaku di sana yang belum pernah dilihat sebelumnya,” katanya. 

Dr. Deo berkata, dia berharap dapat melihat sesuatu yang mungkin agak menakutkan semasa hendak sampai ke dasar laut. 

Sebaliknya, apa yang kelihatan adalah sesuatu yang jauh luar biasa daripada disangkakan. 

“Ada satu kenangan lucu ketika kami meneroka ke dasar laut. Terdapat satu bahan putih yang melayang di kawasan sekitar itu. 

“Pada mulanya saya menyangka ia adalah obor-obor tetapi rupanya hanyalah plastik. Selain itu, terdapat banyak sampah di dasar laut seperti seluar, kemeja, anak patung dan bungkusan beg plastik,” katanya. 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN