LONDON: Ahli politik dari Parti Buruh, Sadiq Khan menang dalam pemilihan semula Datuk Bandar London sekali gus menewaskan pencabarnya dari Parti Konservatif, Shaun Bailey.
Sadiq menjadi datuk bandar beragama Islam pertama di ibu negara United Kingdom sejak dipilih pada 2016.
Menerusi persaingan lebih sengit daripada dijangkakan itu, beliau memenangi penggal kedua dengan meraih 1.2 juta undian.
Kemenangan ahli politik berusia 50 tahun itu adalah satu peluang cerah bagi parti pembangkang utama di negara itu setelah aksi tunjuk perasaan berlaku semasa pemilihan tempatan.
Menerusi ucapan kemenangannya bagi penggal kedua, Sadiq akan memfokuskan usaha merapatkan jurang antara komuniti berbeza dan antara bandar serta kerajaan.
Beliau mahu memastikan London boleh memainkan peranan dalam proses pemulihan dan membina masa hadapan lebih saksama.