JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi menarik balik larangan perjalanan yang dikenakan terhadap 11 negara utama dalam usaha mengekang penularan varian baharu Covid-19.
Lapor Arab News, pelancong dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Amerika Syarikat (AS), Ireland, Itali, Portugal, United Kingdom (UK), Sweden, Switzerland, Perancis dan Jepun kini boleh memasuki negara itu dengan syarat mematuhi prosedur kuarantin.
Berdasarkan Lembaga Kesihatan Awam (PHA) Arab Saudi, negara tersebut menunjukkan kestabilan dalam menangani penularan wabak Covid-19.
Bagaimanapun, 13 negara masih berada dalam senarai merah larangan penerbangan di bawah Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
Negara itu termasuk Libya, Syria, Lubnan, Yemen, Iran, Turki, Armenia, Somalia, Republik Demokratik Congo, Afghanistan, Belarus, India dan Venezuela.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA) juga sudah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang negara ini mengenai maklumat baharu tersebut.
Pelawat bukan Arab Saudi yang tiba di negara ini, pelancong yang dikecualikan, kumpulan yang divaksin dan belum disuntik vaksin perlu mengemukakan sijil kesihatan diluluskan di Arab Saudi (ujian saringan PCR) tidak melebihi 72 jam daripada waktu penerbangan.
Peraturan itu tertakluk kepada semua individu berusia 8 tahun ke atas dan pelancong yang memenuhi syarat menjalani kuarantin selama tujuh hari di salah sebuah pusat penginapan yang diluluskan oleh Kementerian Pelancongan Arab Saudi. – AGENSI