JAKARTA: Seorang remaja perempuan berasal dari Banyumas, Jawa Tengah meninggal dunia selepas mengalami gangguan saraf dipercayai akibat ketagih permainan video secara dalam talian.
Remaja perempuan itu dilaporkan ketagih bermain permainan seperti Mobile Legend, Free Fire dan PUBG.
Bahkan, remaja itu didakwa seperti ‘tidak mengenali dirinya’ kerana terlalu leka bermain permainan video tersebut.
Ketua Kampung Pageralang, Sumadi berkata, remaja itu sempat dibawa ke hospital sebelum meninggal dunia.
“Ibunya memberitahu, anak perempuannya tidak pernah berenggang dengan telefon bimbit.
“Remaja itu pernah memberitahu keluarganya dia berasa tidak sihat sehingga mereka membawanya ke hospital,” kata Sumadi kepada Tribunnews.
Remaja itu sempat menerima rawatan di hospital selama dua hari sebelum pulang ke rumah dan meninggal dunia.
Pasukan perubatan yang merawatnya memaklumkan remaja perempuan itu mengalami gangguan saraf dan berkemungkinan disebabkan oleh ketagihan permainan video.