BEIRUT: Demonstrasi membela nasib rakyat Palestin di sempadan selatan Lubnan sudah berlarutan selama tiga hari sehingga memaksa ahli politik dan tokoh awam menggesa negara itu tidak masuk campur dalam ketegangan yang berlaku di wilayah bergolak tersebut.
Lapor Arab News, sebilangan penyokong dari Lebanese Future Movement bergerak ke kawasan sempadan di Marwahin bagi menyatakan solidariti mereka bersama penduduk Palestin.
Ahli Parlimen, Walid Al-Baarini berkata, mereka mendapat sokongan daripada Perdana Menteri, Saad Hariri.
Tentera Zionis Israel bersiap siaga di sepanjang sempadan bandar Abbasiya ketika demonstrasi berlangsung dan bertindak membuang bendera Palestin yang digantung pada kawat berduri di kampung Adaisseh.
Manakala, tentera Lubnan turut melakukan kawalan dan pemantauan di sepanjang sempadan negara itu.
Jumaat lalu, seorang pemuda Lubnan mati ditembak oleh tentera Israel selepas sekumpulan lelaki merempuh pagar kawat berduri sambil membawa bendera Palestin dan Hezbollah.
Serangan roket turut dilancarkan dari Lubnan ke arah negara haram Israel pada Khamis malam, namun, tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab terhadap insiden itu.