LOS ANGELES: Putera Harry menggesa agar vaksin Covid-19 diagihkan kepada orang ramai secara adil dan menyeluruh.
Duke of Sussex itu membuat gesaan tersebut dalam satu konsert amal yang diadakan di Los Angeles.
Harry membuat penampilan bersama puluhan selebriti terkemuka di Vax Live, sebuah konsert amal dalam usaha membantu program vaksinasi Covid-19 antarabangsa.
Konsert yang dihoskan oleh penyanyi, Selena Gomez turut menampilkan persembahan daripada beberapa artis terkemuka seperti Jennifer Lopez dan Foo Fighters.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden turut berucap dalam konsert yang diadakan di Stadium SoFi, Los Angeles.
Putera Harry ketika menyampaikan ucapan di hadapan ribuan orang yang sudah menerima vaksin Covid-19 turut memuji usaha petugas barisan hadapan bertungkus lumus menangani pandemik itu.
“Malam ini kami meraikan semua petugas barisan hadapan yang berada di sini dan seluruh dunia.
“Anda telah menghabiskan hampir setahun berjuang dengan berani untuk melindungi kami semua.
“Anda berkorban masa dan merisikokan diri di tengah pandemik ini demi kami. Terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas barisan hadapan. Kami amat berhutang budi kepada anda,” katanya.
Harry membuat penampilan umum pertama sejak majlis pengebumian Putera Philips pada 17 April lalu.