LONDON: Mendiang Putera Philip dilaporkan tidak ‘melupakan’ cucunya, Putera Harry dalam wasiatnya walaupun hubungan Duke of Sussex itu dengan kerabat diraja Britain semakin goyah.
Philip dilaporkan mungkin meninggalkan harta sebanyak 30 juta pound (RM176 juta) untuk Harry, malah anak lelaki Duke of Edinburgh, iaitu Putera Andrew juga berkemungkinan menerima sebahagian harta peninggalannya.
Ratu Elizabeth pula dijangka menerima majoriti harta peninggalan Philip termasuk tiga pembantunya.
Lapor Insider, tidak seperti kerabat diraja lain, Philip merupakan seorang yang pemurah sehingga beliau memutuskan untuk memberi ganjaran kepada tiga pembantunya yang tidak jemu berkhidmat untuknya.
Philip meninggal dunia pada bulan lalu iaitu beberapa minggu sebelum beliau menyambut ulang tahun ke-100.
Harry yang sebelum itu sudah menetap di Amerika Syarikat (AS) pulang ke United Kingdom (UK) untuk memberi penghormatan terakhir kepada datuknya.
Beliau sebelum itu mencetuskan kontroversi apabila mendakwa kehidupannya serta isteri, Meghan Markle hampir ‘musnah’ akibat layanan yang diberikan oleh kerabat diraja Britain.
Harry dan Meghan mendedahkan perkara itu menerusi wawancara khas bersama pengacara terkenal, Oprah Winfrey.