LONDON: Punca kematian Putera Philip bulan lalu adalah disebabkan faktor sudah lanjut usia berdasarkan sijil kematian yang didedahkan.
Lapor Daily Mail, Duke of Edinburgh itu meninggal dunia ketika berumur 99 tahun di Istana Buckingham.
Semalam, sijil kematian rasmi didedahkan dengan menyatakan punca kematian adalah disebabkan faktor usia yang disahkan oleh Ketua Perubatan Diraja, Sir Huw Thomas.
Alasan faktor lanjut usia boleh diterima sekiranya pesakit sudah berusia lebih 80 tahun ke atas termasuk doktor sudah memantau rapi pesakit bagi tempoh yang lama.
Menurut The Daily Telegraph, tiada penyakit lain dikenal pasti atau kecederaan yang menyebabkan kematian mendiang termasuk keadaan jantung yang memaksa dirinya melalui prosedur pembedahan seminggu sebelum kematiannya.
Suami kepada Ratu Elizabeth II itu ditahan di Hospital King Edward VII sejak 17 Februari lalu selepas dilaporkan tidak sihat.
Istana itu kemudian mengesahkan beliau dirawat kerana mendapat jangkitan.
Pada 1 Mac lalu, beliau dipindahkan ke Hospital St. Bartholomew bagi menjalani rawatan mengenai jangkitan itu termasuk menguji keadaan jantungnya.
Selepas menjalani pembedahan jantung, Duke of Edinburgh keluar dari hospital pada pertengahan Mac lalu.
Putera Philip mendapat gelaran Duke of Edinburgh selepas beliau mendirikan rumah tangga dengan Ratu Elizabeth pada 20 November 1947.
Mendiang selamat dikebumikan dalam upacara pengebumian yang berlangsung secara tertutup di St. George Chapel, Istana Windsor.