JAKARTA: Kerajaan Indonesia melaksanakan Sekatan Kegiatan Masyarakat Berskala Mikro (PPKM) bermula hari ini sehingga 17 Mei 2021.
Lapor Kompas.com, keputusan itu dibuat dalam perbincangan antara Presiden Joko Widodo (Jokowi) dengan sejumlah menteri dan ketua pentadbiran di Istana Presiden, di sini semalam.
Ketua Jawatankuasa Pencegahan Covid-19 dan Pemulihan Ekonomi Nasional, Airlangga Hartarto berkata, PPKM tersebut merupakan kali ketujuh diadakan di negara ini.
Katanya, PPKM akan diperluas ke lima lagi wilayah iaitu Kepulauan Riau, Bengkulu, Sulawesi Tengah, Sulawesi Tenggara dan Papua Barat.
“Dengan penambahan itu, secara keseluruhan sebanyak 30 wilayah akan dikenakan PPKM.
“Sebelum ini, terdapat 25 wilayah dikenakan PPK termasuk Jakarta, Jawa Barat, Tengah dan Timur, Aceh, Yogyakarta, Bali dan Kalimantan,” katanya.
Selain itu, Airlangga memaklumkan peraturan PPKM sama seperti sebelum ini iaitu mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan tiada perhimpunan ramai.
“Selain itu, golongan pekerja akan dibenarkan bekerja dari rumah, kapasiti restoran dihadkan kepada 50 peratus dan operasi premis perniagaan dihadkan sehingga pukul 9 malam.
“Apa yang lebih penting, ketua pentadbir di setiap wilayah juga perlu memastikan jangan ada penduduknya pulang ke kampung untuk beraya kerana kita sedaya upaya mengekang jangkitan Covid-19,” ujarnya.
Sementara itu, Airlangga memberitahu PPKM melibatkan semua jabatan pihak berkuasa Indonesia bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan PPKM yang dijalankan.