SEOUL: Korea Utara semalam memberi amaran akan bertindak pada bila-bila masa selepas menyifatkan polisi pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden penuh dengan kepura-puraan.
Biden pada Rabu lalu memaklumkan pentadbirannya akan ‘menguruskan’ sebarang ancaman dari program senjata nuklear Pyongyang menerusi pendekatan diplomasi dan tindakan tegas.
White House pada Jumaat lalu menyatakan Biden terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Korea Utara berhubung menghentikan program nuklearnya berdasarkan polisi yang diteliti.
Namun, Pyongyang menyifatkan langkah tersebut sebagai ‘penipuan besar’.
Pegawai Kementerian Luar Korea Utara, Kwon Jung-gun berkata, kenyataan Biden sebenarnya berniat ‘meneruskan permusuhan’ dengan Pyongyang, sama seperti pentadbiran presiden AS sebelum ini.
“Diplomasi yang dimaksudkan Biden hanyalah bertujuan menutup ‘sikap permusuhan mereka’ terhadap Pyongyang.
“Kini semuanya sudah jelas dan Pyongyang bersedia untuk bertindak pada bila-bila masa,” katanya.
White House sebelum ini turut menekankan menghentikan program nuklear Korea Utara masih menjadi matlamat utama AS. – AFP