MADRID: Tindakan seorang anggota polis dari Sepanyol yang menyelamatkan bayi lelaki yang lemas di perairan di luar pesisir Afrika Utara, menarik perhatian ramai.
Lapor Daily Mail, pegawai dikenali sebagai Juan Francisco menyelamatkan bayi lelaki itu dari laut berhampiran perairan Cueta pada Selasa lalu selepas ibunya nekad terjun ke dalam laut sambil mengikatnya di bahagian belakang.
Jelas polis, bayi lelaki itu selamat selepas operasi tersebut.
Menurut polis, bayi lelaki itu merupakan seorang daripada sejumlah kanak-kanak yang diselamatkan selepas kira-kira 8,000 pendatang dari Maghribi berenang merentasi sempadan Sepanyol.
Insiden itu ketika Sepanyol berdepan dengan pergolakan politik selepas menawarkan rawatan perubatan kepada seorang ketua pemberontak yang terlibat dalam perang dengan kerajaan Maghribi selama beberapa tahun.
Menurut wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian, sejumlah besar pendatang dilihat berenang untuk masuk ke Sepanyol.
Kejadian itu turut diperhatikan oleh puluhan tentera yang dikerahkan di sepanjang pantai.
Tidak dapat dipastikan jumlah pendatang yang merentas dan mereka dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebelum dibawa semula ke sempadan dan dihantar pulang.
Meskipun jarak antara wilayah Afrika dan Eropah hanya kira-kira 200 meter jika berenang, ramai pendatang cuba merentasi pantai terdekat untuk mengelakkan pasukan tentera yang berkawal.