BERLIN: Sebuah pesawat penumpang milik Ryanair melakukan pendaratan cemas di Berlin sebelum meneruskan perjalanan semula ke Poland.
Pihak polis Jerman mengesahkan perkara itu tanpa mendedahkan sebarang maklumat lanjut.
Akhbar Bild Zeitung melaporkan pesawat yang dalam penerbangan dari Dublin ke Krakow terpaksa dilencongkan selepas menerima ancaman bom.
Pesawat yang membawa 160 penumpang diminta untuk mendarat cemas di Lapangan Terbang Berlin-Brandenburg selepas pukul 8 malam (waktu tempatan) semalam.
Pesawat itu dilaporkan berada di landasan sehingga awal pagi tadi.
Seorang jurucakap polis Berlin berkata, pihaknya tidak menemui sebarang ancaman bahaya selepas melakukan pemeriksaan keselamatan.
“Penumpang akan dipindahkan ke pesawat lain untuk meneruskan perjalanan semula ke Poland,” katanya kepada AFP.
Beberapa media tempatan melaporkan pesawat tersebut dikosongkan dengan bagasi penumpang turut digeladah. – AFP