GAZA CITY: Puluhan penduduk Yahudi diiringi dengan pasukan keselamatan Israel bersenjata dilaporkan menyerbu perkarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur kelmarin.
Keadaan itu secara tidak langsung meningkatkan ketegangan beberapa jam selepas jemaah Palestin dipukul dan diserang oleh pasukan keselamatan Israel, lapor pihak berkuasa pentadbiran masjid tersebut.
Agensi berita WAFA dengan memetik kenyataan saksi melaporkan polis Israel menyerang penduduk Palestin yang menunaikan solat subuh di masjid tersebut kelmarin.
Malah, mereka juga dipukul agar memberi laluan kepada penduduk Yahudi untuk masuk ke masjid al-Aqsa yang merupakan tempat ketiga paling suci bagi umat Islam.
Jelas WAFA, sekurang-kurangnya enam penduduk Palestin ditahan termasuk pengawal keselamatan di Masjid al-Aqsa, Fadi Alyan yang cuba merakam insiden tersebut dan seorang pekerja dari Majlis Wakaf Islam, Ali Wazouz.
Majlis Wakaf Islam merupakan badan agama yang dilantik oleh Jordan untuk menjaga pekarangan Masjid al-Aqsa.
Polis Israel juga meningkatkan sekatan di pagar dengan menghalang jemaah di bawah usia 45 tahun memasuki Masjid al-Aqsa.
Siri serangan tentera Zionis di Gaza sejak 10 Mei lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 248 penduduk Palestin maut termasuk 66 kanak-kanak dan lebih 1,900 cedera.
Dalam pada itu, Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk wilayah Palestin, Lynn Hastings berkata, pihaknya akan melancarkan tabung bantuan untuk membina semula penempatan di Gaza.
“Peningkatan serangan ini memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sememangnya sudah parah di Gaza,” katanya.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pula memaklumkan pentadbirannya akan bekerjasama dengan agensi PBB dalam usaha mempercepatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza. – AGENSI