LONDON: Seorang lelaki terpaksa memulangkan semula telefon pintar yang dicuri dari sebuah kedai setelah mendapati pintu premis itu terkunci sehingga dia tidak dapat melepaskan diri.
Lapor Metro, Manmeet Singh mendakwa lelaki itu mengunjungi kedainya, Urmston Mobile Tech di Greater Manchester pada Rabu lalu dan meminta untuk melihat model iPhone 12 Pro Max baharu.
Kata Manmeet, dia memberitahu bahawa model telefon pintar itu sudah kehabisan stok dan sebaliknya menunjukkan Samsung A21S kepada lelaki tersebut.
Jelasnya, lelaki itu kemudian merampas telefon pintar itu dan cuba bergegas keluar dari pintu masuk.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pencuri itu cuba membuka pintu beberapa kali untuk keluar namun gagal kerana pintu itu dilengkapi dengan kunci automatik
Setelah menyedari terperangkap dalam kedai tersebut, pencuri itu tampil memulangkan semula barangan dicuri kepada pemilik kedai tersebut.
“Lelaki itu merupakan pencuri yang paling bodoh. Dia mencuri telefon dan cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya keluar kerana ia dikunci secara automatik. Hanya saya dapat membuka pintu tersebut.
“Selepas pencuri itu sedar tidak dapat keluar, dia kemudian datang ke kaunter dan memulangkan semula telefon pintar tersebut.
“Lelaki itu tidak berkata apa-apa dan hanya memulangkan barang dicurinya,” katanya.