JEDDAH: Seorang pembunuh yang disabitkan bersalah menerima pengampunan daripada ayah mangsa beberapa minit sebelum dia dijatuhkan hukuman.
Lapor Arab News, Awad Suleiman Al-Amrani dari Tabuk berkata, anaknya dibunuh semasa insiden pergaduhan empat tahun lalu dan tidak menuntut sebarang ganti rugi atas kematian tersebut.
Peguam, Waleed Khaled Darraj berkata, lelaki yang dibebaskan itu serta keluarganya perlu mematuhi tuntutan dan syarat yang dikenakan oleh ayah mangsa seperti tidak melancarkan sebarang kutipan sumbangan.
“Sekiranya sudah ditulis dan diluluskan oleh mahkamah, semua permintaan ayah mangsa perlu dipatuhi. Jika tidak, pengecualian itu akan terbatal dan keluarga mangsa mempunyai hak menuntut hukuman pancung dilaksanakan,” katanya.
Menurut Waleed, walaupun hukuman mati dibenarkan dalam undang-undang Islam sebagai langkah pencegahan melindungi nyawa dan memelihara jiwa manusia, Islam juga menuntut penganutnya memaafkan perbuatan pelaku.
“Islam turut mengajar penganutnya supaya mempamerkan sikap toleransi dan mengelakkan sifat marah kerana kebanyakan kes akan menjurus kepada kejadian tidak diingini.
“Apabila kejadian jenayah berlaku, hukuman pancung dan menuntut pampasan adalah hak keluarga mangsa. Bagaimanapun, individu yang berhati mulia hanya bertindak memaafkan tanpa meminta sesen daripada pesalah,” jelasnya.
Dalam beberapa kes di negara Arab di Teluk Parsi, pihak keluarga mangsa akan menuntut berjuta-juta riyal sebagai pampasan untuk memaafkan perbuatan pelaku.
Arab Saudi melaksanakan sepenuhnya undang-undang syariah atau hukum hudud dan keluarga mangsa bunuh boleh memberikan pengampunan kepada pembunuh melalui pampasan atau ‘wang darah’.