WASHINGTON: Peguam kepada bekas pegawai polis Minneapolis, Derek Chauvin membuat permohonan perbicaraan baharu, dua minggu selepas lelaki itu didapati bersalah atas pertuduhan pembunuhan tahap kedua dan ketiga terhadap lelaki kulit hitam, George Floyd.
Menerusi dokumen yang diserahkan kepada Hakim Mahkamah Daerah, Peter Cahill, Eric Nelson berkata, bekas pegawai polis itu mendakwa dinafikan menjalani perbicaraan yang adil, memetik dakwaan salah laku pendakwa raya dan juri, kesalahan undang-undang semasa perbicaraan serta keputusan yang bertentangan undang-undang.
“Publisiti di sini begitu meluas dan berlaku prejudis sebelum dan semasa perbicaraan sehingga menyebabkan kecacatan struktur dalam prosiding,” katanya.
Chauvin didapati bersalah pada 20 April lalu selepas menjalani perbicaraan di Minneapolis, Minnesota dan berdepan hukuman penjara selama 75 tahun bermula Jun ini.
Kematian Floyd mencetuskan rusuhan besar-besaran di bandar Amerika Syarikat dan seluruh dunia tahun lalu.
Anggota polis itu didakwa menekan lututnya ke atas leher Floyd yang sedang bergari selama lebih sembilan minit pada 25 Mei lalu, selepas dia serta tiga pegawai lain menahan Floyd yang dituduh menggunakan wang kertas AS$20 (RM80) palsu untuk membeli rokok di sebuah kedai runcit.
Menurut Nelson, semasa sesi perbicaraan berlangsung barisan juri terpengaruh dengan berita yang beredar di sekeliling termasuk komen oleh ahli politik sebelum memutuskan keputusan itu.
Hakim Cahill menolak hujah tersebut kerana sudah meminta juri mengelakkan menonton sebarang berita mengenai kes itu.
Pihak juri turut diasingkan setelah hujah penutup dibuat dalam kes tersebut.
Nelson malah menuduh juri melakukan kesalahan, berasa tertekan atau gagal mematuhi arahan tetapi tidak menyertakan perincian lebih lanjut mengenai tuntutan itu.
Permohonan itu juga tidak menyebut laporan baru-baru ini, apabila seorang juri mengambil bahagian dalam perarakan 28 Ogos lalu di Washington sebagai menghormati pemergian Martin Luther King Jr.
Juri itu mempertahankan tindakannya kerana kehadirannya tiada kaitan dengan protes terhadap kematian Floyd.
Wartawan Al-Jazeera, Mike Hanna yang melaporkan dari Washington berkata, sekarang terpulang kepada Mahkamah Daerah Minneapolis untuk memutuskan sama ada meneruskan aduan itu atau menyiasat lebih lanjut. -AL-JAZEERA