BUENOS AIRES: Sebuah saluran televisyen di Argentina tersalah membuat pengumuman mengenai ‘kematian penyair Inggeris terkenal, William Shakespeare’ dalam buletin berita.
Audien yang menonton berita tersebut berasa keliru dengan pengumuman itu apabila pembaca berita Canal 26, Noelia Novillo mengumumkan ‘William Shakespeare sudah meninggal dunia pada bulan ini’.
Pengumuman itu dibuat apabila seorang lelaki yang dikenali sebagai William ‘Bil’ Shakespeare meninggal dunia lima bulan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 pada usia 81 tahun.
Kesalahan itu dipercayai berlaku kerana pembaca berita tertukar nama Bill dengan William Shakespeare yang hampir sama.
Menurut The Guardian, pengumuman yang dibuat Novillo berbunyi ‘seperti yang kita tahu, William Shakespeare merupakan penyair tersohor dalam abad Inggeris dan beliau juga menjadi lelaki pertama menerima vaksin Covid-19 di dunia’.
‘Namun, beliau dilaporkan meninggal dunia di England pada usia 81 tahun’.
Shakespeare sebenar meninggal dunia pada 1616, manakala Bill Shakespeare yang menjadi individu kedua di dunia yang menerima suntikan vaksin Covid-19 menghembuskan nafas terakhir pada 20 Mei lalu akibat strok.
Insiden itu menjadi tular dalam media sosial dengan orang ramai mempersoalkan ‘tahap pengetahuan am’ Novillo memandangkan William Shakespeare sudah meninggal lebih 400 tahun yang lalu.
“Adakah William Shakespeare sudah dilahirkan semula?,” tulis seorang pengguna Twitter.
Sementara itu, keluarga Bill Shakespeare memaklumkan ada pihak mengaitkan dia dengan keturunan penyair tersebut dan mereka tidak menolak jika ada kemungkinan.