JAKARTA: Pusat beli-belah, Pasar Tanah Abang menjadi tumpuan penduduk di bandar raya ini untuk membeli kelengkapan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Sehingga semalam, kapasiti pengunjung di pusat beli-belah tersebut dianggarkan mencecah sehingga 200 peratus, sekali gus menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa tempatan susulan pandemik Covid-19 yang belum reda.
Sehubungan itu, Setiausaha Jakarta, Marullah Matali meminta pasukan beruniform negara termasuk Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan polis turun padang di Tanah Abang bagi mengawal pergerakan masyarakat dan mematuhi protokol Covid-19.
“Semalam sahaja, kira-kira 200 peratus pengunjung datang ke Tanah Abang dan jumlah itu sangat tinggi berbanding keadaan biasa.
“Jumlah pengunjung yang terlalu ramai itu membuatkan pasukan pencegahan Covid-19 tidak menang tangan dan keadaan menjadi semakin tidak terkawal,” katanya seperti yang dilapor Kompas.com.
Dalam pada itu, Ketua Polis Jakarta Pusat, Hengki Haryadi berkata, seramai 1,000 anggota keselamatan dikerah ke Tanah Abang dan kawasan sekitarnya bagi memastikan masyarakat mematuhi protokol Covid-19.
Katanya, terdapat tiga lokasi diberi tumpuan iaitu di Pasar Tanah Bang, Thamrin City dan Stesen Pasar Tanah Abang.
“Kawalan akan dipertingkat sehingga akhir Ramadan kerana jumlah pengunjung membeli kelengkapan Aidilfitri dijangka terus meningkat,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan Kompas TV di lokasi berkaitan menyaksikan orang ramai tidak mematuhi protokol Covid-19, malah sanggup bersesak-sesak untuk membeli-belah.