LONDON: Sebuah video memaparkan aksi seorang lelaki yang memanjat tebing batu yang curam tanpa menggunakan kedua-dua tangannya berjaya menarik perhatian ramai di laman media sosial.
Lapor Oddity Central, pendaki dari Britain, Johnny Dawes sememangnya terkenal dengan gaya pendakian yang sangat dinamik dan berani.
Lelaki dalam lingkungan usia 50an itu juga dikenali dengan beberapa gelaran seperti Stone Monkey, Leaping Boy dan Dawes.
Menurut Dawes, dia mempratikkan disiplin esoterik yang dikenali sebagai pendakian tanpa menggunakan kedua-dua tangan.
“Ia merupakan mendaki tebing batu yang curam tanpa menggunakan tangan anda. Teknik itu mungkin kedengaran tidak masuk akal tetapi ia lebih mencabar.
“Cara pendakian seperti ini memerlukan koordinasi pergerakan badan yang betul dan fokus lebih kuat,” katanya.
Dalam video tersebut, Dawes dilihat mendaki batu dengan menggerakkan bahagian badannya secara bijak.
“Idea ini sesuatu yang baharu dan berani. Saya rasa pendakian seperti ini mungkin tidak pernah dilakukan lagi di dunia,” kata editor Adventure Journal, Steve Casimiro.