JAKARTA: Tindakan nekad seorang wanita warga emas menunggang motosikal dalam arus bertentangan di Nunukan, Kalimantan Utara menjadi tular dalam media sosial.
Menerusi video yang dirakam, wanita tersebut dilihat menunggang motosikal dalam keadaan laju dan tidak mempedulikan kenderaan yang bergerak dari arah bertentangan.
Jurucakap polis, Aprilian Riswanto berkata, polis giat mengesan wanita warga emas tersebut dan mungkin mengambil masa susulan motosikal yang ditungganginya tidak mempunyai nombor plat.
“Tindakan nenek itu sangat berbahaya, bukan sahaja pada dirinya, malah untuk semua pengguna jalan raya.
“Polis masih menyiasat kenapa wanita tersebut sanggup meredah arus bertentangan sedangkan dia tahu keadaan itu berbahaya,” katanya kepada Tribunnews.