WASHINGTON: Sebut sahaja perkataan Covid, sudah tentunya ramai merujuk kepada pandemik koronavirus yang melanda seluruh dunia.
Namun siapa sangka Covid juga dikaitkan dengan nama sebuah syarikat di Arizona yang sudah beroperasi kira-kira empat dekad lalu.
Lapor Oddity Central, Covid.inc merupakan sebuah syarikat terletak di Tempe, Arizona yang menghasilkan serta menjual produk seperti kabel dan plat dinding audiovisual berkualiti tinggi di seluruh dunia.
Meskipun perniagaan itu sudah beroperasi lama, namun syarikat tersebut mula menjadi perhatian dan muncul di muka depan akhbar hanya pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Covid.inc, Norm Carson menceritakan pengalaman dilaluinya ketika mendapat tahu syarikatnya berkongsi nama sama pandemik yang mencetuskan wabak terbaharu dalam sejarah manusia.
Katanya, dia bersama beberapa kakitangan syarikatnya menghadiri satu majlis pameran audiovisual besar di Amsterdam pada Februari tahun lalu.
Menurut Carson, pada hari sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan nama rasmi koronavirus iaitu Covid-19 buat pertama kali.
Tambah Carson, pengasas Covid.inc pada awalnya mahu menamakan syarikatnya sebagai Video Company atau Vidco tetapi nama itu sudah digunakan oleh syarikat lain.
“Jadi, seorang pemandu penghantaran barang mencadangkan agar dinamakan sebagai Covid dan begitulah syarikat ini mendapat namanya,” katanya.