LONDON: Seorang lelaki yang menghidap penyakit vertigo mencipta rekod baharu dunia selepas berjaya menamatkan cabaran menaiki roller coaster Nemesis sebanyak 64 kali dalam tempoh enam jam.
Lapor Metro, Sean Evans dari bandar Stoke-on-Trent di England memecahkan rekod dunia bagi menaiki roller coaster yang bergerak pada kelajuan 127.08 kilometer per jam (km/j) dan 32 meter ketinggian semasa hujan.
Evans melakukan cabaran itu di Taman Tema Alton Towers di Staffordshire pada Selasa lalu.
Evans yang juga merupakan blogger, menaiki kira-kira 10 kali permainan mencabar itu dalam tempoh sejam tanpa berhenti berehat untuk makan dan ke tandas.
Lelaki itu mencapai sasarannya ketika Nemesis hampir ditutup pada hari tersebut.
Dia berjaya memecahkan rekod dicipta Shawn Sanbrooke yang menaiki roller coaster sebanyak 63 kali pada 2019.
Dalam pada itu, Evans menyifatkan cabaran itu sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan sukar.
“Saya mula menaiki roller coaster Nemesis pada pukul 9.30 pagi sehingga 4 petang.
“Ketika permainan itu tutup, saya sudah mencapai 63 pusingan dan pekerja di taman tema itu membiarkan saya menamatkan pusingan terakhir yang membawa kemenangan kepada saya.
“Saya menghidap vertigo dan sering pening sebab itu saya tidak memandu tetapi atas beberapa faktor permainan roller coaster ini tidak memburukkan gejala itu lagi,” katanya.