BEIJING: Seekor kucing baka British Shorthair dari Chongqing, China dilaporkan mampu menjana pendapatan antara 5,000 yuan (RM3,182) dan 10,000 yuan (RM6,365) dengan menjadi model kereta.
Lapor Oddity Central, kucing yang bernama Mao Mao dan berusia dua tahun itu akan menerima bayaran tersebut bagi setiap penampilan dan tuannya juga hanya menerima tiga hingga empat penggambaran dalam tempoh sebulan.
Mao Mao menjadi popular secara kebetulan apabila pemiliknya yang dikenali sebagai Zheng menjadikan kucing peliharaannya itu sebagai model dalam satu pameran kereta.
Zheng yang bekerja di industri automotif meletakkan Mao Mao di atas sebuah kereta yang dipamerkan sekali gus menarik ramai pengunjung dalam acara tersebut.
Rata-rata pengunjung turut mengambil gambar kucing comel itu dan berkongsi di laman media sosial sehingga menjadi tular.
Selepas itu, Zheng mula memaparkan Mao Mao sebagai model kucing bagi beberapa kereta lain untuk menarik perhatian orang ramai.
Rupa kucing itu yang comel ditambah dengan memakai pelbagai kostum menarik terus menjadikannya model popular di China.