KABUL: Angka korban akibat insiden letupan bom di luar sebuah sekolah perempuan di sini meningkat kepada 50 orang.
Serangan yang berlaku kelmarin itu merupakan insiden paling teruk sejak lebih setahun lalu dan berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) terus mengundurkan tenteranya dari negara ini.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, Tareq Arian berkata, sebuah kereta yang dipasang bom meletup di hadapan pintu masuk Sekolah Sayed al-Shuhada dan apabila pelajar lari bertempiaran, dua lagi letupan berlaku.
Katanya, lebih 100 cedera dan kebanyakannya adalah pelajar perempuan.
Selain itu, kebanyakan keluarga juga sudah mula mengebumikan mangsa yang terkorban semalam.
Sehingga kini, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut, namun pihak berkuasa Afghanistan termasuk Presiden Ashraf Ghani menuduh Taliban sebagai dalang.
Sementara itu, diplomat AS di Kabul, Ross Wilson menyifatkan serangan tersebut sebagai ‘perbuatan yang menjijikkan’.
“Menyerang dan menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran merupakan tindakan yang sangat tidak boleh diterima,” katanya. – AFP