NEW YORK: Seorang lelaki didakwa merakam beberapa videonya berulang kali cuba membunuh anak kekasihnya yang berusia dua tahun dengan menjerut kanak-kanak itu sehingga pengsan.
Lapor Daily Star, ibu kanak-kanak itu melaporkan kejadian tersebut kepada polis selepas menemui rakaman video di telefon bimbit teman lelakinya, David Coleman, 38, di Ohama, Nebraska di Amerika Syarikat (AS).
Video berdurasi lima minit yang dipercayai dirakam di sebuah unit stor dimiliki Coleman menunjukkan lelaki itu menjerut leher kanak-kanak itu dengan menggunakan selendang yang diikat pada unit rak tersebut.
“Mangsa digantung di lehernya sehingga tidak berupaya untuk bernafas dan pengsan.
“Suspek kemudian dilihat mengangkat kanak-kanak itu dengan selendang masih terikat di lehernya untuk melepaskan tekanan bagi membolehkannya bernafas dan menangis sebelum menggantungnya lagi,” jelas dokumen mahkamah.
News Channel Nebraska melaporkan, polis menahan Coleman selepas menerima laporan mengenai kejadian itu.
Polis turut menemukan satu lagi video berdurasi 30 minit di telefon bimbit Coleman yang menunjukkan lelaki itu menjerut leher kanak-kanak itu menggunakan selendang yang sama di stor berkenaan.