HARARE: Seorang lelaki dari Zimbabwe dilaporkan hampir maut selepas berpuasa selama 40 hari berturut-turut hanya kerana menginginkan sebuah kereta Lamborghini.
Mark Muradzira, 27, percaya dengan mempraktikkan amalan sedemikian, Tuhan akan menunaikan hasratnya dengan memberikannya kereta mewah tersebut.
Lapor Oddity Central, Muradzira yang merupakan Pemimpin Pemuda di Gereja Risen Saints, Bindura baru-baru ini melakukan cubaan itu di kawasan gunung bagi mengelakkannya daripada memiliki keinginan untuk makan.
Muradzira melakukan tindakan drastik itu kerana dia menganggur dan tidak mampu membeli kereta Lamborghini baharu yang berharga kira-kira AS$200,000 (RM828,130).
Bagaimanapun, Muradzira terdesak untuk menghadiahkan kereta mewah itu kepada teman wanitanya.
Oleh itu, Muradzira percaya dengan berpuasa merupakan satu-satunya cara untuk mengharapkan pertolongan Tuhan bagi membolehkannya memperoleh kereta Lamborghini.
“Malangnya, ia tidak berlaku seperti diharapkannya. Selepas beberapa hari, keadaan kesihatan Muradzira semakin merosot,” jelas laporan itu.
Tambah laporan itu, rakan-rakan Muradzira berjaya mengesan lokasinya pada hari ke-33 dan membawanya ke hospital selepas melihat keadaan lelaki itu yang amat lemah.