LONDON: Seorang lelaki yang menikam seorang wanita dan menggunakan bayinya sebagai ‘perisai manusia’ bagi mengelak terkena tembakan pistol elektrik oleh polis dipenjara selama lapan tahun.
Lapor Metro, Aamer Araf, 33, didakwa menikam wanita berusia 37 tahun itu secara berulang kali dalam satu serangan di kediaman mangsa, menyebabkannya berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
Lelaki itu kemudiannya menendang bayi mangsa yang berusia tujuh bulan sehingga terpelanting ke dinding dan menyebabkan tempurung kepalanya retak.
Ketika polis tiba, Aamer cuba menggunakan bayi tersebut sebagai perisai sebelum dia ditembak dengan pistol elektrik.
Bayi itu dan ibunya dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera.
Berdasarkan siasatan polis, lelaki itu positif dadah dan menghidap penyakit skizofrenia.
Mahkamah Wolverhampton Crown menjatuhkan hukuman tersebut selepas Aamer mengakui kesalahannya.