WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang (RUU) Jenayah Kebencian Covid-19 dengan sokongan majoriti daripada ahli Kongres.
Sebanyak 364 undian diperoleh daripada Parti Demokrat, berbanding 62 undian Parti Republikan yang menentang RUU tersebut.
Akta Jenayah Kebencian Covid-19 itu bertujuan mencegah keganasan terhadap golongan Asia di Amerika susulan peningkatan serangan termasuk kes pembunuhan semasa pandemik Covid-19 melanda.
Biden turut menyokong penggubalan undang-undang itu yang akan mempercepatkan semakan kes jenayah kebencian berkaitan Covid-19 terhadap orang Asia di Amerika dan Kepulauan Pasifik.
Selain itu, katanya, akta itu dapat memperluaskan kesedaran masyarakat mengenai masalah tersebut serta memberikan panduan kepada pemerintah negeri dan tempatan tentang cara memerangi jenayah kebencian.
Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi berkata, adalah penting menghantar mesej mengenai keperluan memperkuatkan pertahanan negara terhadap jenayah keganasan.
“Langkah ini akan menjadikan perbezaan yang besar untuk menangani jenayah kebencian di AS bukan ketika wabak melanda sahaja, tetapi untuk tahun-tahun yang akan datang,” katanya.
Lebih 6,600 insiden diskriminasi dan keganasan berlaku terhadap golongan Asia seperti menjadi mangsa serangan, tikaman dan dipukul antara Mac tahun lalu sehingga Mac tahun ini. -AFP