JAKARTA: Kluster Covid-19 kembali mengganas di Indonesia menjelang sambutan perayaan Aidilfitri yang bakal disambut minggu ini.
CNN Indonesia melaporkan, kebanyakan kes jangkitan berlaku selepas penduduk menghadiri atau mengadakan pertemuan melibatkan jumlah ramai orang menerusi beberapa kes dilaporkan.
Berikut merupakan senarai beberapa kluster Covid-19 yang berlaku sejak beberapa bulan lalu:
*Kluster Tarawih
Melibatkan pelbagai wilayah di negara itu seperti di Banyuwangi, 38 jemaah disahkan positif dengan enam daripadanya meninggal dunia.
Selain itu, kluster sama berlaku di Yogyakarta apabila 22 penduduk di Bantul disahkan dijangkiti Covid-19 yang bermula daripada seorang penduduk yang kerap menunaikan solat Tarawih berjemaah walaupun bergejala.
*Kluster Pernikahan
Seramai 112 penduduk di Kalimantan Barat dijangkiti virus selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Tapang Semadak dengan tiga daripadanya maut.
*Kluster Pondok Pesantren
Seramai 104 pelajar di dua sekolah pondok di Kulon Progo, Yogyakarta terdedah dengan jangkitan Covid-19.
Sekolah yang terlibat adalah Pondok Pesantren Darul Karim di Bumirejo, Lendah dan Pondok Pesantren Nurul Quran di Hargorejo, Kokap.
Penyebaran virus bermula semasa lawatan ibu bapa ke kawasan asrama di Darul Karim, sementara, di Nurul Quran apabila sebahagian besar penuntut mengalami gejala hilang deria bau.
*Kluster Pejabat
Dalam tempoh 12 hingga 18 April, sebanyak 425 kes positif berlaku di 177 pejabat. Jumlah itu meningkat tiga kali ganda berbanding minggu sebelumnya yang hanya mencatatkan 157 kes di 78 pejabat.
*Kluster Melawat Bayi
Seramai 18 individu positif Covid-19 selepas melawat bayi yang baru dilahirkan di Kampung Tanalum, Purbalingga, awal Mei lalu.