SYDNEY: Pasangan kembar seiras paling tua di Australia meraikan ulang tahun kelahiran mereka yang ke-102 kelmarin.
Lapor Daily Mail, Concie Marshall dan Leila Moag meraikan hari jadi mereka di bersama keluarga tersayang di sebuah pusat penjagaan warga emas di Berry di New South Wales.
Pasangan kembar itu dilahirkan di Berry pada 1919 dan kelihatan sihat sehingga kini.
Concie dan Leila dilihat ceria dapat meraikan hari jadi mereka dengan meniup lilin pada kek dan berbual bersama para tetamu.
Sambutan hari jadi itu juga menjadi detik penyatuan pasangan kembar itu bersama keluarganya selepas berjauhan seketika susulan pandemik Covid-19.
Selain itu, mereka turut berkongsi rahsia kekal sihat dan bertenaga kepada portal berita 7News, iaitu dengan minum banyak air putih dan bukannya minuman beralkohol.
Ada kalanya, pasangan kembar itu berpura-pura lupa akan usia mereka dan memaklumkan kepada orang ramai bahawa mereka sebenarnya berumur 82 atau mungkin 84 tahun.
Concie dan Leila dipercayai ‘mewarisi umur panjang’ daripada bapa mereka yang didakwa hidup sehingga usia 104 tahun.