GAZA: Sebuah kem pelarian di sini menjadi sasaran terbaharu serangan udara tentera Zionis yang masuk hari kelima hari ini.
Serangan itu menyaksikan sekurang-kurangnya 10 penduduk Palestin maut termasuk lapan kanak-kanak.
Pasukan keselamatan dikerah ke lokasi kejadian dan bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Sehubungan itu, angka korban dijangka terus bertambah memandangkan masih banyak mangsa belum dapat dikeluarkan.
Dalam pada itu, pergerakan Hamas membalas serangan Zionis dengan melancarkan sejumlah roket ke arah selatan Israel di pekan Askhelon dan Ashdod.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 139 penduduk Palestin di Semenanjung Gaza maut termasuk 40 kanak-kanak sejak pertempuran berlaku pada Isnin lalu.
Di Tebing Barat, tentera Israel menembak mati 13 penunjuk perasaan Palestin yang mengadakan demonstrasi membantah penjajahan Zionis dan pengeboman di Gaza.
Pertempuran dilaporkan turut berlaku di Baitulmuqaddis timur. – AGENSI