Ke mana bantuan Covid-19 di India? - Utusan Malaysia

Ke mana bantuan Covid-19 di India?

BEKALAN bantuan Covid-19 dari Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tiba di New Delhi, India pada 29 April lalu. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Ketika krisis Covid-19 menjadi semakin parah sehingga hampir melumpuhkan India, puluhan negara antarabangsa tampil menghulurkan bantuan kemanusiaan bagi membantu negara republik itu menangani situasi sukar berkenaan.  

Lapor CNN, banyak bantuan perubatan diterima antaranya ventilator, bekalan oksigen dan ubat antivirus pada minggu lalu dengan beberapa gambar menunjukkan muatan bekalan itu ditempatkan di lapangan terbang New Delhi.

Namun, selama beberapa hari, sebahagian besar kargo itu dilaporkan `tersekat’ di hangar lapangan terbang ketika hospital di seluruh India merayu untuk lebih banyak bekalan.  

Petugas perubatan dan pegawai tempatan masih melaporkan isu kekurangan bekalan yang melemahkan sistem kesihatan awam selama beberapa minggu.

Malah, ia turut menimbulkan tanda tanya termasuk dalam kalangan penderma negara luar mengenai pengagihan bantuan perubatan itu.   

Selasa lalu, kerajaan India menafikan dakwaan sebarang kelewatan dan menegaskan pihaknya sudah pun mewujudkan mekanisme khas yang diperkemaskan untuk mengagihkan bantuan.

Kementerian Kesihatan menerusi kenyataan memaklumkan hampir empat juta barangan disumbangkan yang membabitkan 24 kategori telah diagihkan ke 39 kemudahan kesihatan di seluruh negara.

Namun, kebanyakan negeri dan pihak berkuasa tempatan mendakwa tiada komunikasi dari kerajaan pusat mengenai bantuan itu termasuk bila akan menerimanya.   

“Kami menghantar delegasi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bekalan (oksigen), ubat-ubatan dan program vaksinasi namun tidak memperolehinya dengan jelas daripada kerajaan.

“Berhubung bantuan asing, tiada perincian mengenai bekalan dikongsi bersama kerajaan negeri,” kata Menteri Kesihatan Rajasthan, Raghu Sharma.

Tambah Sharma, kerajaan pusat menganaktirikan berapa negeri sepanjang pandemik tersebut, justeru beliau menggesa persekitaran yang lebih telus.   

 

Kes Covid-19

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, India melaporkan 4,12,262 kes baharu Covid-19 dan 3,980 kes kematian dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kes Covid-19 di India sudah melepasi 20.6 juta sejak pandemik bermula.

 

Logistik 

Salah satu masalah pengagihan yang dibangkitkan oleh media tempatan adalah kerajaan tidak mempunyai protokol sebelum menerima bantuan dan terpaksa menyusun panduan bekalan dan pengagihan dengan segera.

Menurut kementerian kesihatan, kerajaan mengambil masa selama tujuh hari untuk merangka mekanisme bagi mengagihkan bekalan ke negeri-negeri yang memerlukan.

Kerajaan mula merangka pelan itu pada 26 April lalu dan hanya mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) mengagihkan bantuan pada 2 Mei lepas.  

Dalam tempoh tujuh hari itu, lebih 23,000 penduduk India dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19.

Meskipun SOP sudah dikeluarkan, proses pengagihannya dilihat amat kompleks yang dikhuatiri boleh menyebabkan kelewatan lagi. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya