MEDAN: Lima suspek yang ditahan polis kerana didakwa menggunakan semula kit ujian saringan Covid-19 mengakui mereka sudah melakukan kegiatan itu sejak Disember 2020.
Ketua Polis Sumut, Panca Putra Simajuntak berkata, kira-kira 100 hingga 200 orang akan menjalani ujian Covid-19 menggunakan kit yang sudah digunakan setiap hari sebelum menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu.
Katanya, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengumpul semua alat ujian calitan, kemudian mencucinya menggunakan alkohol, dibersihkan dan digunakan semula untuk ujian akan datang.
“Empat orang suspek memberitahu mereka mendapat arahan untuk melakukan kesalahan itu daripada pengarah perniagaan syarikat PT Kimia Farma Solusi yang bekerjasama dengan pihak lapangan terbang untuk melakukan ujian saringan Covid-19 kepada para penumpang.
“Adalah jelas perbuatan tidak bertanggungjawab ini hanya bertujuan mengaut keuntungan semata-mata,” katanya kepada Kompas.com.
Selain itu, Panca memaklumkan hasil perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyaksikan syarikat tersebut mengaut keuntungan sebanyak 1.8 bilion (RM7.3 juta).
“Jika dikira sejak Disember lalu, syarikat tersebut sudah menjana pandapatan berlipat ganda hasil penipuan yang dilakukan.
“Ketika negara bertungkus-lumus mengawal jangkitan Covid-19, masih ada pihak yang mengambil kesempatan untuk kesenangan sendiri,” ujarnya.
Sebelum itu, sekumpulan anggota polis menyamar sebagai penumpang di lapangan tersebut sebelum operasi serbuan dan tangkapan dilakukan.