Kasut pintar untuk orang buta - Utusan Malaysia

Kasut pintar untuk orang buta

INNOMAKE menggunakan sensor ultrasonik yang mampu mengesan halangan sejauh empat meter. - TEC INNOVATION 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENNA: Sebuah syarikat dari Austria melancarkan kasut pintar yang menggunakan sensor ultrasonik untuk membantu orang yang hilang penglihatan mengesan sebarang rintangan ketika berjalan.

Lapor Oddity Central, Tec-Innovation menghasilkan kasut dikenali sebagai InnoMake yang mampu mengesan halangan pada jarak sejauh empat meter.

Kasut pintar itu bertujuan menjadi alternatif moden menggantikan kaedah tradisional tongkat yang diguna pakai oleh jutaan orang di seluruh dunia untuk ke destinasi mereka secara selamat.

Model kasut yang dibangunkan ketika ini bergantung sepenuhnya pada sensor untuk mengesan rintangan serta memaklumkan kepada individu memakai kasut itu melalui vibration (getaran) dan isyarat bunyi amaran pada telefon pintar yang dipautkan dengan Bluetooth.  

Dilaporkan, syarikat itu sedang mengusahakan versi yang lebih maju iaitu menggabungkan kamera dan teknologi kepintaran buatan (AI) untuk turut mengesan sifat individu yang memakai kasut tersebut.

Tec-Innovation bekerjasama dengan Universiti Teknologi  Graz, Austria untuk membangunkan algoritma pembelajaran mendalam untuk rangkaian neural yang boleh menganalisis maklumat diperoleh daripada sensor dan kamera yang dipasang pada kasut InnoMake.

Langkah itu bagi menentukan sama ada kawasan itu bebas rintangan dan selamat dilalui atau sebaliknya serta mampu membezakan pelbagai jenis halangan. 

“Sensor ultrasonik yang dipasang pada hujung kasut boleh mengesan halangan sejauh empat meter. Pemilik kemudian diberi amaran sama ada melalui isyarat bunyi atau getaran. 

“Ia berfungsi dengan baik dan secara peribadi saya merasakan ia banyak membantu saya untuk ke mana-mana sahaja,” kata salah seorang pengasas Tec-Innovation yang juga hilang penglihatan, Markus Raffer.

Versi terkini kasut InnoMake boleh dibeli menerusi laman sesawang Tec-Innovation pada harga AS$3,850 (RM15,834) sepasang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya