BEIJING: Kapal angkasa kargo China berlabuh di stesen angkasa baharu yang dibangunkan hari ini, dengan membawa bekalan minyak dan keperluan untuk bakal krunya.
Agensi Angkasa Lepas China mengumumkan, kapal angkasa Tianzhou-2 tiba di stesen Tianhe lapan jam sejurus berlepas dari tapak pelepasan Wenchang di Hainan.
Kapal angkasa yang dibawa oleh roket Long March 7 itu membawa bekalan makanan, peralatan dan minyak.
Stesen angkasa lepas yang diberi nama Tiangong itu dijangka dapat beroperasi menjelang 2022 dan berupaya beroperasi selama sekurang-kurangnya 15 tahun.
Ketika ini, satu-satunya stesen angkasa yang berada di orbit adalah Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang mana China dikecualikan.
China dilarang daripada menyertai program ISS berikutan satu undang-undang diluluskan Kongres Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2011 yang menghalang hubungan rasmi dengan program angkasa lepas negara ini berikutan isu keselamatan. – AGENSI