JAKARTA: Timbalan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Pangandaran, Jawa Barat, Jalaludin kehilangan wang berjumlah lebih 30 juta rupiah (RM8,507) selepas menjadi mangsa penipuan.
Lapor Tribunnews, Jalaludin menyedari insiden itu selepas pergi ke bank untuk mengeluarkan duit dan menukar kad pengeluaran wang automatik (ATM).
Kejadian itu berlaku ketika Jalaludin ingin mengeluarkan duit dari mesin ATM di sebuah pasar raya, namun kadnya sukar dimasukkan sehingga dia didatangi seorang lelaki yang menawarkan bantuan.
“Saya berikan kad ATM kepada lelaki itu dan dia berjaya memasukkannya ke dalam mesin tersebut.
“Namun, tiada duit yang keluar dan tertera ‘transaksi anda dibatalkan’ pada skrin mesin berkenaan,” katanya.
Selepas itu, Jalaludin cuba keluarkan duit sekali lagi mesin ATM lain, namun hasilnya sama.
Keesokannya, Jalaludin pergi ke bank dan menyedari bahawa dia sudah ditipu dan kesemuanya duit hilang.
Sehubungan itu, beliau mendakwa kemungkinan kad ATM miliknya ditukar oleh lelaki berkenaan dan membuat laporan polis.