BAITULMUQADDIS: Tentera Hamas melancarkan puluhan roket terhadap Israel sebagai tindak balas serangan udara rejim Zionis membunuh komander kanan dan memusnahkan sebuah bangunan bertingkat di Gaza.
Lapor BBC, laporan media mendakwa beberapa lokasi di selatan Israel terjejas sehingga seorang kanak-kanak terbunuh di Sderot.
Seorang wartawan AFP melaporkan, pasukan tentera Israel masih terus melancarkan serangan udara terhadap Gaza pada awal pagi ini.
Ketegangan antara Israel dan Palestin yang bermula sejak Isnin lalu, semakin meningkat sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ia bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, setakat ini, sekurang-kurangnya 67 orang termasuk 14 kanak-kanak maut manakala 388 penduduk cedera dalam serangan udara tentera Israel di Gaza.
Sebanyak tujuh orang maut di Israel.
Siri keganasan itu meletus selepas konflik Israel-Palestin meningkat di Baitulmuqaddis Timur berikutan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin. – AGENSI/AFP