JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) bersama isterinya, Iriana hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri di perkarangan bangunan utama, Istana Presiden di Bogor, Jakarta.
Lapor CNN Indonesia, Jokowi dan Iriana tiba di bangunan tersebut seawal pukul 6.16 pagi (waktu tempatan) dan kemudian duduk di tempat yang disediakan.
Solat Aidilfitri yang bermula kira-kira 6.36 pagi (waktu tempatan) dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Selain Jokowi, beberapa pegawai kanan seperti Komander Pasukan Pengaman Presiden (Pamperas) Mejar Agus Subiyanto hadir menunaikan solat sunat Aidifitri, pagi tadi.
Jokowi dan Iriana pulang semula ke Wisma Bayurini Istana Presiden Bogor setelah solat selesai pukul 7.02 pagi (waktu tempatan). – AGENSI